Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)
Definisi
SBT ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan. Sekolah ini mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa dan menjadi sekolah pilihan masyarakat.
Rasional
Menghargai dan memberi pengiktirafan SBT kepada sekolah dalam Sistem Pendidikan Malaysia adalah untuk:
- Mengangkat Kualiti Sekolah-sekolah Terbaik
Meningkatkan kualiti pencapaian sekolah melalui peningkatan tahap autonomi untuk membolehkan sekolah melaksanakan inovasi dalam pendidikan (contoh: pengurusan organisasi, pengurusan instruksional, pengurusan kurikulum, pengurusan kewangan dan pengurusan sumber manusia).
- Menghasilkan Murid Cemerlang
Menghasilkan murid cemerlang yang berkaliber antarabangsa supaya dapat melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan terbaik di dunia dan seterusnya menjadi personaliti unggul dalam semua bidang yang diceburi.
- Merapatkan Jurang Antara Sekolah-sekolah Dalam Sistem
Menjadi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain untuk membangunkan kecemerlangan ke tahap yang lebih tinggi melalui penandaarasan, bimbingan dan jaringan dengan SBT.
Pemilihan
- Saringan Pertama
Sekolah yang berada dalam Band Satu (1), iaitu sekolah rendah yang mendapat skor komposit sekurang-kurangnya 85 peratus (%), dan sekolah menengah yang mendapat skor komposit sekurang-kurangnya 90 peratus (%) wajib mengisi Borang Pencalonan Pengiktirafan SBT (BPP-SBT). Skor komposit merupakan 70% Gred Purata Sekolah (GPS) dan 30% Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Sekolah akan disenaraikan mengikut skor komposit dan markah dalam BPP-SBT.
- Saringan Kedua
KPM akan memilih sekolah yang layak daripada Band Satu (1) untuk dinilai dan diverifikasi dengan Instrumen SKPM dan Annex-SBT oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK). Annex-SBT akan menilai lima (5) ciri kecemerlangan dan keunggulan sekolah iaitu personaliti unggul, anugerah diterima, jalinan, jaringan dan penandaarasan.
- Saringan Ketiga
Sekolah yang telah diverifikasi oleh JNJK disusun mengikut markah penarafan SKPM dan Annex-SBT. Hanya sekolah yang mendapat skor sekurang-kurangnya 90 peratus (%) dalam penarafan SKPM yang telah diverifikasi oleh JNJK dan skor sekurang-kurangnya 40 peratus (%) dalam Annex-SBT akan diambil kira. Jawatankuasa Pemilihan akan memilih sekolah yang layak untuk diiktiraf sebagai SBT.
- Ganjaran
Sekolah yang menerima pengiktirafan SBT diberi peruntukan khas, insentif dan latihan untuk pemimpin, guru dan Anggota Khidmat Pengurusan (AKP). Pihak pengurusan sekolah juga diberi autonomi dalam aspek:
– pengurusan kurikulum; pengurusan kewangan; pengurusan sumber manusia
berdasarkan prestasi; dan pemilihan murid.
.