Novel Silir Diksina : Sinopsis Bab 11 dan 12 (Komsas Tingkatan 5)
Bab 11 :
Haiqal menyedari bahawa dia telah berada di kampung arwah ayahnya selama seminggu. Dalam tempoh ini telah banyak urusan berkaitan amanah yang ditinggalkan oleh ayahnya kepada Tauke Ong berjaya diselesaikan. Namun, Haiqal tetap menyerahkan segala urusan tinggalan ayahnya iaitu ladang kelapa sawit kepada Tauke Ong kerana dia tidak mempunyai pengetahuan mengenai pengurusan ladang kelapa sawit. Walau bagaimanapun, Tauke Ong tetap mahukan Haiqal mempelajari cara-cara menguruskan ladang kelapa sawit. Haiqal banyak mempelajari mengenai kelapa sawit daripada dua orang kampung yang mengambil upah memotong buah kelapa sawit iaitu Bidin dan Salleh. Semua yang berlaku dalam tempoh seminggu di Kampung Seri Purnama diceritakan Haiqal kepada Ratna dan juga adik tirinya Nurul Asiyah melalui SMS. Haiqal telah mula mengenali remaja-remaja kampung tersebut. Antaranya ialah Lazim iaitu anak kepada Haji Salim yang seusia dengannya. Haiqal selalu diajak memancing ikan pada sebelah petang. Haiqal telah pergi memancing ikan puyu bersama-sama dengan Lazim. Sambil mereka memancing, Haiqal dapat melihat suasana kampung yang menyebabkan dia teringat kembali zaman kanak-kanaknya. Lazim telah menyatakan hasratnya untuk tidur di rumah Haiqal pada malam minggu.
Bab 12 :
Haiqal telah pergi ke balai raya ditemani See Hwa dan Lazim. Dia dapat melihat keadaan balai raya yang tidak terurus kecuali ada beberapa bahagian dalam balai raya itu yang kelihatan terurus dan terjaga. Berbeza dengan sebelum ini, balai raya itu dikatakan lebih terurus dan mempunyai banyak buku yang menjadi bahan bacaan penduduk kampung. Haiqal seakan tidak percaya bahawa buku-buku yang terdapat dalam balai raya itu ialah hasil daripada penulisan arwah ayahnya. Malah, sejarah hidup ayahnya juga turut dipamerkan di situ. Haiqal tertarik dengan sebuah album besar yang menyimpan gambar-gambar ayahnya. Berdasarkan gambar-gambar tersebut, Haiqal dapat mengetahui bahawa arwah ayahnya merupakan seorang penari zapin. Hakikatnya, ayahnya ialah orang yang bertanggungjawab menghidupkan kumpulan zapin Seri Purnama.
.