Novel Sejambak Bakti : Sinopsis Bab 7, 8, 9 (Novel Tingkatan 1)
Sinopsis Bab 7
Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Encik Mansur, Penolong Pengarah Pembangunan Koperasi, Bahagian Fungsi Sekolah-sekolah itu, melawat ke kedai koperasi. Beliau memuji kedai tersebut kerana barang-barang yang dijual tersusun dengan kemas. Setelah beberapa lama di situ, Encik Mansur dibawa ke tempat pemeliharaan ayam telur pula. Beliau kagum melihat ayam-ayam yang gemuk itu. Beliau yakin bahawa ayam-ayam itu pasti mengeluarkan hasil yang banyak. Tidak lama selepas itu, Encik Mansur dibawa ke bilik bacaan. Pelbagai majalah boleh dibaca di situ. Encik Mansur menyatakan bahawa usaha untuk menyemai minat membaca dalam kalangan murid-murid ialah suatu usaha yang baik.
Selepas habis tinjauannya, Encik Mansur bersama-sama dua orang pegawainya dijemput ke majlis jamuan yang disediakan. Kemudian, Cikgu Syamsudin memulakan ucapannya dengan ucapan terima kasih kepada Encik Mansur kerana sudi hadir ke sekolah mereka. Dalam ucapannya, Encik Mansur memberikan pujian atas usaha dan kerjasama semua ahli lembaga pengarah koperasi sekolah itu. Beliau juga berharap agar koperasi sekolah dapat menyemaikan minat berniaga, semangat bekerjsama, dan bersatu padu dalam kalangan generasi muda.
Sinopsis Bab 8
Pada suatu pagi, Cikgu Saiful, guru mata pelajaran Perdagangan, sedang menghabiskan pengajarannya tentang prinsip akaun kepada murid-murid Tingkatan 5C1. Cikgu Saiful menamatkan pengajarannya pada hari itu dengan menyuruh murid-muridnya menyalin contoh prinsip akaun yang telah ditulisnya di papan tulis. Semua murid segera menyalin nota tersebut tetapi Munir pula bertindak mengusik murid-murid yang lain. Cikgu Saiful menegur Saiful dengan perasaan kesal.
Loceng pulang berdering. Semua boleh pulang kecuali Munir kerana dia belum menyiapkan notanya lagi. Ramlah, Saridevi, dan Rozita meminta Razali mengajar mereka tentang Penyata Wang Tunai di rumahnya. Ketika mereka sedang berbual-bual, Munir menuruni tangga. Rozita secara senyap mengejeknya tetapi ditegur oleh Razali. Razali bimbang Munir akan memarahi mereka.
Sinopsis Bab 9
Rozita, Ramlah, dan Saridevi tiba di rumah Razali. Mak Sopiah, ibu Razali menjemput mereka masuk tetapi Razali mengajak mereka belajar di pondok di tengah sawah kerana di sana lebih tenteram untuk belajar. Apabila mereka tiba di pondok itu, tiga gadis tersebut bersetuju dengan cadangan Razali kerana tempat itu memang ternyata aman dan tenteram.
Tidak lama kemudian, Mak Sopiah menghantar minuman kepada mereka. Mak Cik Sophia meminta diri kerana hendak melakukan kerja-kerja di dalam rumah. Razali dan rakan-rakannya memulakan sesi pembelajaran. Razali menerangkan kaedah membuat Penyata Wang Tunai yang diajarkan oleh Cikgu Saiful sehingga mereka benar-benar faham.
.